Tuesday 18 March 2014

SUAMI KAMU SEORANG DA'E



Assalamu’alaikum wbt. Apa khabar iman anda saat ini wahai saudaraku? Semoga semakin bertambah rasa cinta kepada sang Khalik yang menciptakan kita yakni Allah Azza Wa Jalla.

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt dapat saya mencoretkan sesuatu di dalam blog ini sebagai bahan pengisian untuk kita semua. Apa yang lebih penting, semoga saja penulisan ini memberikan kesan bahagia dan kebaikan bagi siapa jua yang membacanya. In shaa Allah.

Hari ini saya ingin membicarakan tentang tajuk yang terkait rapat dengan kehidupan berumahtangga dan fokus ini amat sesuai bagi yang sudah menikah. Namun, itu tidak bermakna yang belum menikah tidak layak membacakannya bahkan ia juga amat baik sebagai cernaan minda sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

Perkahwinan itu adalah salah satu kebutuhan setiap insan, dan pernikahan seringkali ditafsirkan sebagai hubungan yang disyariatkan antara lelaki dan wanita. Pemahaman tentang tentang masalah pernikahan pun berbeza-beza sesuai dengan perbezaan sosio budaya dan pemikiran masing-masing.

Akan tetapi, pandangan Islam tentang pernikahan jauh lebih lengkap dari itu semua. Allah telah menjadikan pernikahan sebagai salah satu sumber ketenangan dan ketenteraman.

Allah swt berfirman:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (QS Ar-Rum: 21)

Namun, apa yang lebih penting adalah sebelum menikah kita selayaknya memahami matlamat pernikahan itu sendiri kerana pernikahan itu bukanlah matlamat. Pernikahan itu adalah jalan menuju matlamat. Misalnya, pernikahan itu adalah ruang bagi kita meraih redha dan kasih sayang Allah swt seterusnya sebagai pelengkap bagi kita dalam mengharungi kehidupan yang penuh onak ini.

Haruslah anda ingat bahawa kehidupan pernikahan itu memang indah namun, pasti ada kalanya ia akan dikunjungi dengan kesusahan dan kepayahan. Seandainya stigma pemikiran anda hanya membayangkan segalanya indah ketika menikah, ternyata itu pemikiran yang teramat salah.

Antara cabaran yang sering dihadapi adalah kekangan masa yang begitu terbatas khususnya bagi pasangan suami isteri yang bergelar da’e (pendakwah). Misalnya, jika suami seorang da’e maka seringkali saja dia akan keluar ‘Outstation’ dan mungkin sering pulang di lewat malam.

Itulah yang sering dialami, bagi isteri seorang da’e. Justeru itu, sebagai seorang isteri haruslah memahami keadaan suami kamu seorang da’e  bahawa masa hidupnya itu juga terdapat hak bagi ummah.

Justeru itu, isteri yang solehah haruslah sedia memikul amanah dan sedia berkorban bagi melalui fasa ini. Kerana ini merupakan fasa yang akan benar-benar menduga kita disaat berjauhan dari insan yang tersayang.

Justeru itu Al Fadhil Ustaz Karim Zaidan pernah mengatakan kepada bakal isterinya :

“Sesungguhnya aku telah menikah, dan isteri pertamaku itu adalah dakwah.”

Sebaik sahaja ia menikah ia mengatakan:

“Aku punyai dua orang isteri. Isteri pertamaku adalah dakwah dan isteri keduaku adalah isteriku kini. Sekiranya berlaku pertembungan antara dua maka aku akan utamakan isteri pertamaku.”

SubhanAllah.

Begitu jelas matlamat yang dibawakan oleh Ustaz Karim Zaidan. Lantaran itu, bagi isteri yang sedang melalui fasa ini hendaklah bersabar melaluinya. Bersyukurlah kerana suami kamu adalah seorang da’e kerana kerja-kerja dakwahnya diluar pasti adalah jalan bagi kamu menuju syurga yang abadi.

Seringkali kita melihat para da’e tercicir dari medan dakwah dan tarbiyah bukan. Tercicir tatkala sibuk belajar, tatkala sibuk bekerja bahkan tercicir tatkala sudah menikah. Kenapa itu berlaku? Kerana rasa cinta pada dunia lebih berbanding cinta dan redha Allah Azza Wajalla. Apakah mereka lupa akan firman Allah swt?:

“Katakanlah jika babak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tinggal yang kamu sukai, itu lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya, dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya” (QS. At taubah: 24).

Tidak saya nafikan pada awal saya menikah dan saat ada jemputan untuk berceramah diluar ‘Outstation’ rasa berat untuk meninggalkan isteri buat beberapa ketika. Namun, ku gagahkan juga kaki melangkah keluar kerana saya tahu kalau saat saya penuhi hak Allah pasti Allah penuhi hak saya juga. Saya tinggalkan isteriku dibawah jagaan Allah swt kerana Allah swt adalah sebaik-baik penjaga.

Percayalah saat ada sedang melalui saat ini, pasti anda akan merasai begitu nikmatnya punya isteri yang solehah, kerana mereka memahami tuntutan dakwah anda. Bahkan mereka redha akan tugas-tugas anda sebagai da’e.

Justeru itu, para da’e yang sudah berkira-kira untuk menikah pilihlah wanita yang solehah dan yang sangat memahami dirimu seterusnya memahami dakwahmu. Demikianlah peri pentingnya soal memilih calon hidup yang bergelar isteri.

“Disebalik kehebatan seorang suami tersembunyi sebuah kekuatan seorang isteri.”

Kata-kata pujangga ini sangat sesuai menggambarkan bahawa isteri solehah itu adalah isteri yang menjadi sahabat, teman setia, penyejuk mata bahkan menjadi sumber kekuatan saat suami merasa lemah.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua khususnya mendepani cabaran dan mehnar dalam rumahtangga. In shaa Allah. Aamiiiin.

Yang hebat itu Allah dan yang lemah itu saya. Saya memohon maaf andai ada kelemahan dan kekurangan dalam penulisan ini. Andai ada baiknya dalam penulisan ini kongsikan pada yang lain.


Wallahu’allam. ^_^

0 comments:

Post a Comment