Tuesday, 7 May 2013

Jadilah Pemuda Yang Iltizam




Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Pertama dan selamanya tanpa rasa jemu, ana ingin mengajak diri ana sendiri dan teman-teman semua agar mengucap setinggi-tinggi rasa syukur kepada Allah swt. Dengan limpah dan inayahNya kita semua masih lagi diberikan nikmat penghidupan ini.

Wahai pemuda pemudi Islam yang menjadi harapan ummah ini. Segeralah antum menyahut seruan dakwah ini dengan penuh iltizam. Justeru itu, ana akan mengajak antum semua agar benar-benar memahami makna sebenar iltizam dalam dakwah ini.

Iltizam membawa maksud komitmen terhadap sesuatu perkara dan tetap pendirian. Iltizam juga akan berlaku dalam dua dimensi iaitu dimensi yang bermula dari dalam hati dan dimensi laksana tindakan.

Iltizam seharusnya terbit daripada kesedaran hati yang ingin melaksanakan mas'uliah dakwah ini. Kita mengambil bebanan dakwah ini dengan hati yang sedar dan bukan dilaksanakan secara terpaksa. Iltizam yang lahir daripada hati akan menghasilkan sesuatu momentum dakwah yang kuat.

Tatkala hati kita sudah benar-benar bertekad untuk iltizam melalui tarbiyah dengan kesedaran dan kefahaman sudah pasti akan menghasilkan suatu tindakan gerak kerja dakwah yang lebih hebat dan luarbiasa. Misalnya, apabila kita iltizam dengan tarbiyah maka kita akan melalui proses tarbiyah ini dengan penuh kesungguhan dan iradah yang kuat.

Sheikh Dr. Fathi Yakan menjelaskan bahawa:

"Iltizam itu adalah komitmen dengan menjadikan Islam dan hukum-hukumnya sebagai paksi hidup serta pola pemikiran dan rujukan kepada semua bidang kehidupan"

Sungguh sheikh Dr. Fathi Yakan menyatakan agar hati kita benar-benar Iltizam dan kita melakukan penyerahan hati secara total untuk ditarbiyah dan hanya sanya berlandaskan Islam semata.

Di dalam Al-Qur'an Allah swt berfirman:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata"
Al-Baqarah; 208

Ayat ini menegaskan bahawa sekiranya kamu mengaku bahawa diri kamu adalah beriman, berpeganglah dengan syariat Islam dengan mematuhi dan menerima setiap hukum-hukum Islam dengan bulat-bulat tanpa ragu-ragu.

Pada catatan kali ini saya juga akan menerangkan kepentingan iltizam bagi mereka yang berada di dalam kerja-kerja amal Islami.

Pertama: Iltizam merupakan kayu ukur bagi kualiti amal seseorang atau penglibahgan seseorang dalam kerja-kerja amal Islami dan dakwah.

Kedua: Iltizam menjadi penentu kepada tercapainya matlamat sebenar kita yakni hendak melihat Islam kembali tertegak diatas muka bumi ini.

Ketiga: Jika semakin tinggi iltizam seseorang itu semakin tinggi pula kualiti kerjanya dalam melaksanakan amal Islami dan dakwah.

Ayuh pemuda pemudi Islam, kita pasakkan iltizam ini dengan kukuh dipenjuru hati kita agar menjadi sumber kekuatan untuk kita melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah. Sesungguhnya pemuda itu merupakan ajen perubah kepada masyarakat yang masih lagi ketandusan sentuhan tarbiyah.

Semoga Allah memberik kekuatan untuk kita terus istiqomah diatas jalan dakwah dan tarbiyah ini sehinggalah kita dipanggil semula bertemu Allah Azza Wa Jallah. In shaa Allah. Aamiiiin.

Sekian, Terima kasih.

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment