Thursday 8 March 2012

Aku Talak Kamu Dengan Talak Tiga Sekaligus Tanpa Ada Rujuknya !!!




Assalamu'alaikum wbt dan Salam sejahtera..


Alhamdulillah...


          Bersyukur kehardat Allah SWT kerana dengan izinnya saya masih diberikan peluang untuk mencoretkan sesuatu pada blog ini. Mungkin anda rasa pelik, terkejut, dan mungkin juga anda rasa lucu pada tajuk post kali ini. Ya! Memang benar saya ini menulis berkaitan "Talak".


           Tetapi, anda semua jangan salah faham talak yang ingin saya bicarakan bukan mengenai talak antara suami isteri. Pasti menjengah dalam benak fikiran anda satu persoalan "Kalau tak talak antara suami isteri talak dengan apa??"


            Baiklah... Justeru itu hari ini saya ingin kongsikan pada anda suatu kisah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang melafazkan "Aku talak kamu dengan talak tiga sekaligus tanpa ada rujuknya". Tahukan anda siapakah sahabat itu? dan siapa pula yang ditalakkan?


            Beliau adalah Ali ibn Abi Thalib. Beliau merupakan sahabat Nabi yang mendapat gelaran "Madrasah Kehalusan Hati", pembimbing jiwa, dan pembina akhlak budi pekerti. Kata-katanya menyentuh qalbu kerana keluar dari hati yang suci dan ikhlas kepada Allah.


             Beliau pernah mencabut janggutnya dengan tangannya sendiri pada suatu malam, dan menangis sambil berkata:


"Wahai Dunia , Wahai Kerendahan! Aku Talak Kamu Dengan Talak Tiga Sekaligus Tanpa Ada Rujuknya!. Simpananmu Hina, Umurmu Amat Singkat, dan Perjalananmu Berliku. Ooohh... Alangkah Kejinya Simpananmu, Alangkah Jauhnya Perlananmu, dan Alangkah Lamanya Aku Bertemu Dengan Kematian."


            Subhanallah.. Hebatnya Saidina Ali ibn Abi Thalib yang menceraikan DUNIA dengan dirinya. Ya! Talak yang dilafazkan ditujukan kepada DUNIA.


            Apabila meneliti satu persatu lafaz talak dari Saidina Ali tadi terus menghambat hati saya, dan apa yang buatkan saya begitu sedih kerana kenapa diri ini begitu mencintai DUNIA? Sedangkan DUNIA itu begitu rendah kedudukannya, begitu hina simpanannya, terlalu singkat usianya, terlalu banyak liku-liku penipuan, dan ia terlalu jauh perjalannya.


            DUNIA telah menggoncangkan hati sehingga kita lupa bahawa ia adalah sementara. DUNIA juga telah menipu kita dengan hiburan yang melalaikan.


"Wahai HATI, Tidakkah kau merasa DUNIA ini sedang melalaikan kita? tidakkah kau sedari DUNIA ini mahu menghanyutkan kita? tidakkah kau ketahui DUNIA ini pasti akan musnah? Mari kita renungi ayat ini"


Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir." (Surah Al-An'am, ayat 32)


                Cukuplah surah diatas menjelaskan kepada kita perihal DUNIA yang melalaikan ini. Sudahkah hati ini, hati anda dan hati kita semua bersedia dan bertekad untuk menceraikan DUNIA ini? Mari kita contohi Saidina Ali tadi.


                Tetapi bukan bermaksud menceraikan dunia ini dengan melupakan segala urusan keduniaan secara terus, kerana apa yang diajarkan kepada kita adalah menjadikan dunia sebagai ladang akhirat kita. Mari kita  melihat bagaimana Rasulullah berpesan kepada kita perihal dunia.


Dari Abu Said al-Khudri, r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya dunia ini manis dan indah dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu wakil menguruskan apa yang ada padanya, maka dengan itu ia sentiasa memerhati bagaimana cara kamu menjalankan urusan itu; oleh itu hendaklah kamu menjaga diri dari keburukan yang disebabkan oleh dunia,  dan khasnya oleh perempuan,  kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa kaum Bani Israel adalah berpunca dari orang-orang perempuan."


             Lihatlah kita sebenarnya adalah manusia yang selayaknya mentadbir dunia, dan dunia itu ada dalam genggaman kita dan jangan biarkan dunia menggenggam kita. Kita renungi pula hadis yang lain ini.



Dari Abdullah bin Umar, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., memegang bahuku lalu bersabda: "Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang bahkan seolah-olah orang yang dalam perjalanan musafir. " Dan semenjak itu Ibn Umar selalu berkata:  "Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu petang dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu dan peluang masa hidupmu berbekal untuk matimu."
(Bukhari)

                 Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., mengingatkan: Supaya tiap-tiap seorang jangan menumpukan amal usahanya untuk kepentingan hidupnya di dunia semata-mata kerana yang demikian akan merugikannya dan jangan pula ia memandang dunia ini sebagai tempat tinggalnya selama-lamanya kerana yang demikian menyalahi hakikat wujudnya yang akan berakhir apabila sampai ajalnya yang telah ditentukan, tetapi hendaklah ia memandang ke tempat yang hendak ditujunya, iaitu tempat tinggalnya yang tetap alam akhirat.

             Oleh yang demikian sukalah saya mengajak diri saya sendiri serta teman-teman sekalian agar sama-sama kita bermuhasabah diri agar merenungi kehidupan yang telah kita lalui sepanjang penghidupan yang sementara ini. Semoga kita menjadi insan yang benar-benar mencintai akhirat yang kekal abadi dan kita tranformasikan kedudukan dunia menjadi tempat persinggahan kita mengumpul amal soleh sebagai bekalan kita menuju akhirat. 

            Akhir kalam sama-samalah kita berdoa' agar diberikan kebahagiaan di dunia dan di akhirat agar hati-hati kita semua lebih tenang dan lebih harmoni. Amin Ya Rabb. (^^,)

0 comments:

Post a Comment