Friday 20 December 2013

Malu Pada Pak Din Beca



Di tengah-tengah kesesakan bandaraya Kota Bharu kelihatan begitu banyak pelancong asing yang datang berkunjung melihat keindahan negeri Serambi Mekkah itu. Ada pelancong dari barat, ada dari asia barat dan tidak kurang juga dari negara kejiranan seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

Apa yang begitu menarik walaupun Kota Bharu kini semakin membangun dengan arus permodenan semasa namun, masih kelihatan lagi kelibat penarik beca di tengah-tengah kota raya itu yang setia menanti penumpang yang ingin meronda-ronda melihat keindahan Kota Bharu dengan menaiki beca.

Apa yang lebih menarik adalah kisah seorang penarik beca yang sedang tua menanti hari senja. Beliau bernama Pak Din Beca. Itulah gelaran yang menjadi panggilan dari sesama penarik beca.

Pak Din merupakan salah seorang penarik beca yang biasa dan sama seperti penarik beca yang lain. Walaupun usianya sudah semakin tua namun beliau masih gagah meneruskan kayuhan beca membawa penumpang.

Pak Din akan menarik beca seharian bermula seawal 8 pagi sehingga 5 petang. Namun, apakah menjadi keistimewaan Pak Din dari penarik beca yang lainnya?

Pak Din akan menarik beca setiap hari namun, pada hari jumaat Pak Din akan menarik beca secara percuma kepada penumpangnya. Itulah yang menjadi garis perbezaan antara Pak Din dengan penarik beca yang lain.

Sehinggalah pada suatu hari seorang jutawan Indonesia yang datang berkunjung di Kota Bharu ingin bersiar menaiki beca. Kebetulan pada hari berkenaan adalah hari jumaat dan penarik beca yang membawanya jalan-jalan adalah Pak Din Beca.

Pak Din Beca memang terkenal dengan sifatnya yang ramah dan senantiasa melontarkan senyuman kepada pelanggan yang menaiki becanya. Sifatnya itu sangat disenangi oleh sesiapa sahaja yang pernah menaiki beca Pak Din.

Selesai jutawan itu meronda-ronda sekitar Kota Bharu, lantas saja jutawan itu menghulurkan duit upah kepada Pak Din Beca namun, Pak Din Beca menolaknya.

"Maaf ya encik. Hari ini adalah hari jumaat dan saya tidak akan mengambil upah."

"Kenapa Pak Din tidak mengambil upah?" Jutawan itu terus menanyakan soalan kerana terkejut.

"Sebab saya menganggap itu sebagai sedekah encik. Saya tahu saya orang susah dan tidak mampu untuk bersedekah dengan wang ringgit yang banyak, justeru itu saya bersedekah dengan cara ini. Bukankah sedekah itu akan memberikan keberkatan pada rezeki kita dan semakin banyaknya kita bersedekah semakin luas pula pintu rezeki kita"

Kata-kata itu terus menyentap hati jutawan itu dan segera pula jutawan itu tertunduk seakan-akan merasa malu.

"Ya Allah. Malunya aku pada dia. Walaupun dia miskin namun masih saja dia punya keinginan untuk bersedekah dengan ikhlas keranaMu. Sedang aku punya kekayaan dunia yang Kau anugerahkan namun aku tidak pernah bersedekah."

Tanpa tidak ia sedari pipinya dibasahi air mata keinsafan. Saat itu Pak Din terus bertanya.

"Kenapa anak ni menangis?"

"Tidak ada apa-apa. Terima kasih Pak Din kerana menyadarkan saya suatu hal yang begitu bermakna." Jutawan itu terus menjawab sambil tersenyum.

Selepas 2 bulan berlalu peristiwa itu, Pak Din terkejut kerana menerima sepucuk surat dan sekeping cek tunai yang tertulis atas namanya.

Antara yang terkandung dalam surat itu.

"Pak Din Beca, saya sangat-sangat bersyukur kerana 2 bulan lalu saya dipertemukan dengan Pak Din. Saya bersyukur kerana dengan pertemuan itu saya sadar akan suatu hal dan kini saya mengerti bahawa rezeki itu adalah milik Allah. Saya mohon pada Pak Din agar menerima wang itu untuk Pak Din menunaikan haji tahun ini dan aggaplah ianya sebagai sedekah dari seorang penumpang beca."

Selesai Pak Din membaca surat ini Pak Din tidak mampu menahan air mata kesyukuran dan lantas sahaja dia tunduk sujud syukur kepada Allah Azza Wa Jalla. Apa lagi yang begitu berharga bagi Pak Din selain dapat menunaikan kewajipan rukun Islam yang kelima dengan izin Allah swt.

Menunaikan haji adalah impian Pak Din walaupun wang tabungannya hasil dari titik peluh kayuhan becanya masih belum cukup namun, Pak Din memperoleh rezeki yang tidak dia sangka-sangka sehingga impianya itu kunjung tiba dengan lebih awal.

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.

(Al-Quran Surah al Hadid, Ayat 18)

0 comments:

Post a Comment