Saturday 16 November 2013

Pada Saatnya Aku Menikah.



Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Syukur kehadrat Allah SWT, dengan izinNya saya dapat menulis lagi dalam blog ini. Apa khabar teman-teman semua? Semoga kalian semua baik-baik saja disamping keluarga tercinta.

Pada kali ini saya nak kongsikan satu tajuk yang cukup istimewa buat diri saya. Terlebih dahulu saya nak bagi tahu satu berita gembira buat teman-teman alam maya bahawa saya telah melangsungkan perkahwinan pada 16 Oktober 2013 yang lalu, sebab itulah saya katakan tajuk ni terlalu istimewa.

Alhamdulillah. Pada hari ini genaplah sebulan usia pernikahan saya dengan si dia. Terlupa plak nak bagi tahu, saya menikah dengan muslimah pilihan hati saya iaitu Puan Selasiah Amir. ^_^

Pejam celik, pejam celik akhirnya masa itu telah tiba. Akhirnya saya telah menamatkan zaman bujang saya pada ketika usia 24 tahun. Kalau ikutkan perancangan, saya nak menikah pada usia 25 tahun, namun kita merancang dan sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah buat kita. Allah takdirkan saya menikah setahun lebih awal.



Semua ini berlaku apabila saya dan rombongan keluarga melangsungkan acara pertunangan pada 26 Ogos 2012 dan pada ketika itu kedua belah pihak terus membincangkan tarikh pernikahan. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk melangsungkan pertunangan selama satu tahun sahaja.

Terima kasih saya ucapkan kepada teman-teman yang sudi menghadirkan diri ke majlis pernikahan saya dan terima kasih juga saya rakamkan buat teman-teman yang mengutuskan ucapan selamat dan doa' kepada kami berdua.

Saya dan isteri begitu menghargai segala jasa baik teman-teman sekalian. Semoga Allah kira ia sebagai amal Islami. In shaa Allah. Aamiin.

Alhamdulillah. Setelah bergelar suami orang selama sebulan ni ada macam-macam perkongsian yang saya ingin kongsikan kepada teman-teman yang sudah punyai rencana untuk menikah. Khususnya teman-teman yang berhajat untuk menikah pada usia muda.

Pertamanya adalah, saya menasihatkan kepada sahabat-sahabat yang ingin menikah agar banyakkan persiapan diri khususnya persiapan ilmu pengetahuan perihal perkahwinan. Kerana urusan pernikahan ini bukan soal kebahagiaan semata namun sesekali hadir juga ujian rumah tangga.

Antara ujiannya adalah, ujian komunikasi, ujian kesabaran terhadap pasangan, ujian kestabilan kewangan dan ujian mentaliti.

Kerana saya bimbang apabila anda menerjah dialam rumah tangga tanpa adanya persiapan, anda akan gagal mendepani ujian-ujian itu.

Apa yang saya pelajari pada ketika bergelar seorang suami adalah, ianya merupakan kesediaan kita dalam memikul satu amanah dan tanggungjawab yang cukup besar. Kerana amanah dan tanggungjawab ini akan diminta pertanggungjawaban diakhirat kelak.

Ianya juga bukan sahaja menjadi penentu sama ada kita ini sebagai ahli syurga atau ahli neraka namun, kita jugalah yang menentukan masa depan akhirat isteri kita.

Sekiranya seorang suami melakukan amal kebaikan, maka pahala itu akan dibahagi dua dengan isteri sementara sekiranya seorang suami melakukan dosa, maka dosa itu ditanggung oleh suami sahaja. Ia amat berbeza dengan isteri. Sekiranya isteri melakukan amal kebaikan, maka pahala itu hanya milik isteri. Namun, sekiranya isteri melakukan dosa, makan dosa itu ditanggung bersama suami.

AllahuRabbi. Sedemikianlah besarnya tanggungjawab kita yang bergelar suami. Jangan kita setkan diminda dengan berkahwin nanti kita akan hidup senang sahaja, kerana perkahwinan itu hadir berserta kebahagiaan dan ujian.

Tatkala menjadi seorang suami, ianya juga merupakan satu proses latihan dalam melatih sifat sabar. Sabar dalam mendidik isteri, sabar dengan karenah isteri dan sabar dalam melalui saat berlaku ujian rumahtangga.

Ingatlah bahawa kalau anda suami sebagai ketua keluarga tidak bersabar dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi si dia yang bergelar isteri. Memang isteri banyak karenah kerana itu mereka dijadikan sebagai rusuk kiri kita dan haruslah kita melenturnya dengan kesabaran.

Anda juga kena jelas dan faham tanggungjawab rumah tangga itu haruslah dipikul bersama. Kerana anda tidak akan mampu memikulnya seorang diri, justeru itu anda memerlukan seorang permaisuri hati agar anda mampu memikul amanah itu dengan baik.

Kini barulah saya sedar, kalau kaum lelaki seharusnya belajar untuk memasak sebelum menikah. Kerana ianya begitu penting pada saatnya anda menikah. Misalnya kalau isteri tidak punya kesempatan untuk memasak maka segeralah kita menggantikannya di dapur. Barulah susah senang itu dipikul bersama dan lelaki yang memasak untuk isteri sebenarnya suami yang romantik. ^_^

Bukan soal masak je tau, tapi dari segenap segi termasuklah basuh kain, kemas rumah, iron baju, cuci pinggan, dan macam-macam lagi. Pendek kata kita juga kena tahu serba serbi perihal kerja-kerja isteri dirumah. Barulah kita menghargai isteri sebagai isteri bukan menjadikannya sebagai tukang gaji dirumah.

Satu lagi jangan lupa untuk hidupkan amal-amal ibadah bersama-sama isteri dirumah bukan amal ibadah yang wajib bahkan amal ibadah yang sunat juga. Misalnya solat besama-sama, bertadabbur Al-Qur'an bersama dan berpuasa sunat bersama-sama. Barulah keluarga itu boleh mencapai sakinah, mawaddah dan warahmah.

Bimbinglah isteri agar terus istiqomah menjaga ibadah kerana dengan jalan inilah rumah tangga yang dibina itu memperoleh redha Allah Azza Wa Jalla. In shaa Allah.

Pada anda yang sudah terbuka hati untuk menikah dan masih tidak punya calon isteri, carilah calon isteri yang baik agamanya. Kerana memang benar, isteri solehah itu adalah penyejuk mata dan penguat di jalan dakwah kelak.

Misalnya isteri yang solehah sentiasa akan menggalakkan suami agar keluar menunaikan tangggungjawab dakwah walaupun terpaksa ditinggalkan oleh suami buat beberapa ketika. Barulah anda faham bahawa betapa pentingnya pemilihan kreteria-kreteria isteri yang solehah.

Belajarlah untuk memahami bahasa komunikasi wanita. Kerana kemahiran untuk berkomunikasi terhadap isteri amat penting. Komunikasi yang tidak baik pasti akan mengundang perselisihan faham antara duanya. Kerana isteri amatlah sensitif terhadap sesuatu dan belajarlah untuk memahami body language mereka.

Alhamdulillah. Mungkin itu setakat itu saja perkongsian saya buat teman-teman sekalian. Ingatlah bahawa pernikahan itu adalah satu ibadah dan isteri itu adalah ladang akhirat buat kita yang bergelar suami. Justeru itu, pikullah amanah ini dengan keimanan yang jitu kepada Allah. In shaa Allah. Segalanya akan baik-baik saja.

Semoga perkongsian yang tidak seberapa ini mampu memberi sedikit manfaat buat teman-teman semua. In shaa Allah. Aamiiin. ^_^

0 comments:

Post a Comment