Sunday 29 September 2013

Murobbiku Seorang Doktor.


*Sekadar Gambar Hiasan

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera.

Apa khabarmu teman-teman sekalian? Semoga masih saja berada dalam keadaan sihat walafiat disamping keluarga tercinta. In shaa Allah.

Alhamdulillah. Setinggi kesyukuran saya panjatkan kehadrat Allah SWT. Kerana dengan izin dan inayah Nya aku diberi peluang untuk mencoretkan sesuatu dalam blog saya ini.

Hari ini aku ingin berkongsi cerita perihal satu kerjaya yang dikategorikan sebagai kerjaya profesional iaitu perihal seorang Doktor perubatan.

Semua mungkin sudah maklum kalau seorang Doktor itu adalah seorang yang berpelajaran tinggi dan merupakan salah satu kerjaya yang sangat mulia dan dipandang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat.

Namun bukanlah aku hendak bercerita Doktor itu dengan lebih mendalam, namun aku ingin bercerita perihal pengalaman aku dididik dan ditarbiyah oleh insan yang bergelar seorang Doktor.

Pengalaman ini aku lalui pada ketika aku berada ditahun akhir belajar dulu. Murobbiku ketika itu seorang Doktor pakar di Hospital Besar Kota Bharu.

Pada awalnya, persepsiku pada seorang Doktor ini melihat ia seorang yang terlalu eksklusif dan sukar untuk didekati. Namun, kali pertama aku berada dalam bulatan gembira bersama beliau ternyata persepsiku itu sangat jauh meleset.

Apabila kami ahli bulatan gembira datang kerumahnya, dia meraikan kami umpama seorang anak malah aku merasakan sangat dekat dengan beliau.

Subhanallah.. Peribadinya seorang yang sangat merendah diri, dan percakapannya amat santun dan perilaku begitu hikmah. Sungguhlah aku tidak pernah bermimpi sebelumnya untuk berkenalan dengan seorang yang benar-benar menterjemahkan erti patah pepatah "Resmi padi, semakin ia berisi semakin pula ia tunduk merendah.".

Pada saatnya aku dan ahli-ahli bulatan gembira sudah menamatkan pengajian dan pulang ke negeri Sabah, Murobbiku itu sempat menitipkan sesuatu pada kami ahli bulatan gembiranya. Saat kami membuka bungkusan yang diberikannya ternyata ia mengandungi senaskah Al-Qur'an tafsir dan senaskah buku fikrah yang bertajuk "Apa Erti Aku Menganut Islam?" tulisan Sheikh Fathi Yakan.

Aku yakin dan percaya kalau hadiah ini diberikan kepada kami disertakan dengan harapan yang tinggi menggunung. Makna disebalik hadiah ini agar kami senantiasa menjalani kehidupan ini sebagai seorang muslim yang  sejati, dan agar kami senantiasa dekat dalam membaca Kalamullah.

Sungguh aku merasa bertuah kerana murobbi ini senantiasa berikan kami kefahaman Islam yang sebenar walaupun beliau seorang Doktor. Kagum melihat keindahan peribadi beliau, sungguh hebatnya tarbiyah ini mampu membentuk generasi yang punyai peribadi yang luarbiasa sepertinya.

Kefahaman Islam yang benar didadanya dan kesedaran terhadap generasinya dia korbankan masa rehatnya untuk sabar mendidik kami dalam bulatan gembira ini. Walaupun aku tahu dia seorang yang sibuk sebenarnya kerana selalu terlibat dengan pembedahan di hospital.

Pernah satu ketika aku menghadapi masalah kewangan dan mengadu padanya, tanpa dia bertanya banyak segera dia membantu diriku. Pada saat itu aku merasakan begitu hebatnya nilai Ukhwah antara murobbi (pendidik) dan mutarabbi (anak didik).

Cuba kita bayangkan pula bagaimana generasi Al-Qur'an yang unik dibawah didikan tarbiyah Rasulullah saw. Walaupun mereka telah memegang jawatan tertinggi seperti menjadi Khalifah dan jeneral perang mereka masih lagi tunduk merendah dan langsung tidak mendabik dada.

Aku juga ingin menyentuh isu masyarakat masa kini yang selalu lupa dan ada ego dalam diri. Misalnya, apa yang berlaku baru-baru ini bagaimana seorang pengawal keselamatan disergah, dikutuk dan dicaci sementara dia hanya memenuhi tanggungjawabnya sebagai pengawal keselamatan.

Secara peribadi aku merasakan ini merupakan tindakan yang sangat tidak wajar, kerana bukankah sewajarnya kita yang muda menghormati orang yang lebih tua berbanding kita? Tepuk dada tanya Iman anda.

Kembali kepada didikan Al-Qur'an yang menyeru kita untuk saling kasih mengasihi sesama muslim.

Tentang hal ini Allah berfirman dalam surat AL- Hujjurat ayat 10 yang artinya :

“ Orang – orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, sebab itu demikianlah ( perbaikilah hubungan ) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat “.

Dalam hadits juga ada menyebutkan:

“Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di akhir penulisan ini, aku menyeru kepada diri ini dan saudara sekalian, bahawa siapa pun diri kita janganlah kita terlalu mendongak ke langit kerana hidup ini umpama roda. Ada kalanya kita diatas dan ada kalanya kita berada dibawah.

Contohilah sifat murobbiku seorang doktor ini yang peribadinya begitu menawan hati. In shaa Allah. Aamiiiin. Saya juga ingin memohon maaf andai ada keterlanjuran kata dalam penulisan ini dan menyebabkan mana-mana pihak tidak senang, namun ia cuma sekadar nasihat dari seorang insan di alam maya.

Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan segala yang lemah adalah kelemahan diri ini. Semoga kita semua senantiasa baiki diri menjadi insan yang lebih baik seterusnya memperoleh keredhaan Allah swt. In shaa Allah. Aamiiiin.

0 comments:

Post a Comment