Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera.
Apa khabar teman-teman semua? Semoga berada dalam keadaan sihat walafiat disamping keluarga yang tercinta. In shaa Allah. Aamiiin.
Alhamdulillah. Setelah sekian lama saya tidak mencoretkan sesuatu di blog ini disebabkan kekangan masa yang terlalu sibuk, akhirnya pada hari ini saya diberikan kesempatan untuk mencoretkan sesuatu.
Sejak akhir-akhir ini saya terlalu sibuk mengisi waktu kerja dengan adanya jemputan ceramah kesekolah-sekolah yang tidak putus-putus. Alhamdulillah. Nikmat rezeki yang Allah kurniakan. Bersyukur pada Allah Azza Wa Jalla.
Sehinggalah pada baru-baru ini saya dijemput untuk berceramah yang bertajuk Muhasabah Diri di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur.
Disaat awal aku menerima jemputan itu bagiku ia merupakan satu peluang untukku agar mampu mendidik anak-anak di Kuala Lumpur bandar metropolitan yang semakin sibuk mengejar materialistik semata.
Sehinggalah tibanya hari yang aku tunggu-tunggu untuk menyampaikan ceramah di sekolah berkenaan. Alhamdulillah... Kehadiranku disambut baik oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut.
Selepas 2 jam berlalu aku membuat penghayatan muhasabah diri ditengah keheningan malam, aku menyaksikan butir mutiara air mata turut membasahi hampir setiap pipi pelajar yang mendengarkan ceramahku.
Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah jualah yang berkehendak untuk menyentuh hati mereka untuk kembali mengenal Allah dan terus menginsafi dosa-dosa yang lalu.
Selesai dipenghujung ceramahku, aku meminta sekiranya ada pelajar hendak berkongsi rasa sepanjang mendengar ceramahku tadi serta memberikan nasihat kepada kawan-kawan yang lain.
Lalu berdiri salah seorang pelajar dalam kalangan mereka. Pelajar itu merupakan pelajar tingkatan 6. Selepas dia memegang microfon dan memberikan salam dia segera memberi pesanan sambil ditemani kesyahduan suara yang begitu sebak.
"Saya merasa begitu sedih mendengar ceramah tadi. Apa yang benar-benar menyentuh hati saya, apabila penceramah menyentuh perihal ibu bapa. Saya menasihatkan kepada adik-adik yang ada disini, segeralah kamu meminta ampun dan maaf pada ibu bapa dan buatlah mereka bangga akan diri kamu. Dulu, abang pun nakal, sampailah tibanya satu kisah. Pada masa tu abang baru baru form 2. Ayah abang seorang pemandu lori, dan setiap hujung minggu pasti abang akan bantu ayah dan ikut ayah dengan lorinya. Sampailah satu peristiwa, tatkala kami hendak makan tengahari.. Ayah ajak untuk pergi beli makanan kat warung. Ayah pesan pada saya, Nak jangan makan banyak sangat ya. Ayah tak banyak duit. Saya pun ambillah lauk ala kadar sahaja. Selesai membeli makanan itu, kami pun pergi belakang warung tu, dan duduk di tepi parit belakang dan makan disitu. Masa tu ayah pesan. Nak.. Belajar bersungguh-sungguh ya, supaya bila besar nanti tak susah macam ayah, dan kamu boleh hidup senang. Peristiwa itu benar-benar menyentuh hatiku, dan bermula dari situ saya belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan kecewakan orang tua lagi"
Demikian perkongsian adik berkenaan yang benar-benar menyentap hatiku sehingga tidak dapat ku menahan titisan air mata tatkala mendengarkan kisah hidupnya yang dhaif itu. Barulah ku sedari, begitu kehidupan senang lenang di tengah-tengah bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur ini tercalit sebuah kehidupan yang serba kekurangan.
Barulah aku memahami erti kesyukuran dan kufahami erti nilai kasih dan pengorbanan seorang ibu bapa kepada anak-anaknya. Sungguh luar biasa hebat adik itu, dan semua yang mendengarkan kisahnya itu turut menangis bahkan guru sekolah yang ada disitu pun menangis.
Ia merupakan pelajaran yang besar untuk diriku, tak ku sangka kehadiranku untuk mendidik mereka namun akhirnya, hatiku juga terdidik oleh kisah itu tadi. Semoga, hati ini terus menerus merasai nikmat syukur akan nikmat yang Allah beri. In shaa Allah. Aamiiiin.
Sekian dulu coretanku, sampai jumpa lagi.
0 comments:
Post a Comment