Sunday 12 May 2013

Dakwah Adalah Cinta



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Syukur kehadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, kita masih diberikan penghidupan lagi hari ini. Sungguh Maha Penyayang Allah swt kepada kita sang Hamba yang kerdil ini, tatkala dosa masih lagi menggunung Allah beri ruang untuk hidup lagi untuk kita muhasabah dan kembali semula kepada Allah.

Justeru itu, saya ingin mengajak minda fikir kita semua untuk berbicara perihal tajuk "Dakwah dan Cinta". Sebelum kita berbicara jauh perihal tajuk ini, terlebih dahulu saya mengajak untuk kita melihat definasi yang jelas perihal dua perkara ini.

Dakwah biasanya bererti mengajak kepada Islam. Bahasa Arab دعوة dakwah bermakna secara harfiah "menyeru" atau "mengajak", dijadikan participle aktif suatu verb bermakna secara pelbagai "memanggil, menjemput".

Sementara Cinta adalah sebuah emosi dari kasih sayang yang kuat dan ketertarikan pribadi. Dalam konteks filosofi cinta merupakan sifat baik yang mewarisi semua kebaikan, perasaan belas kasih dan kasih sayang. Pendapat lainnya, cinta adalah sebuah aksi/kegiatan aktif yang dilakukan manusia terhadap objek lain, berupa pengorbanan diri, empati, perhatian, kasih sayang, membantu, menuruti perkataan, mengikuti, patuh, dan mau melakukan apapun yang diinginkan objek tersebut.

Melihat kepada makna sebenar diatas kita dapati konteks dakwah itu sebenarnya membawa maksud yang begitu mudah dan mampu dilaksanakan oleh semua orang yang bergelar muslim. Kerana ianya lebih tepat adalah dakwah itu merupakan ajakan kepada melakukan perkara yang baik. Dakwah ini bukanlah tanggungjawab mutlak kepada insan yang bergelar Ustaz ataupun Ustazah sahaja kerana ianya juga merupakan tanggungjawab kita semua. 

Demikian Allah swt berfirman:

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata “Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)”. (Fussilat, 41 : 33)

Dengan ayat diatas jelas dah terbukti tanggungjawab dakwah itu merupakan tanggungjawab kita semua yang mengaku beriman kepada Allah swt dalam pada kita mengajak umat manusia untuk kembali semula kepada Allah swt.

Sekiranya kita melihat keadaan ummah hari ini dengan kaca mata iman, saya yakin dan percaya kita akan menemui kehancuran dan kerosakan sahsiah yang kian menghambat ummah hari ini. Belum pun sembuh luka-luka semalam, timbul pula luka baru hari ini. Perumpamaan yang tepat untuk kita menggambarkan suasana kerosakan yang berlaku setiap hari di jalur tubuh ummah ini.

Namun bila kita sebut akan konteks dakwah ini ia seharusnya disampaikan dengan penuh hikmah dan mampu memenangi hati. Memenangi hati dengan dakwah itu merupakan seni dakwah yang terlalu mahal nilainya. Misalnya setiap kata dakwah yang kita sebarkan haruslah bergerak seiring dengan rasa cinta kita kepada sesiapapun yang kita dakwahkan.

Misalnya mudah, seorang pendakwah haruslah bersikap peramah, penyayang, mengambil berat, dan mencintai masyarakat ini dengan penuh rasa cinta kerana Allah swt. Cinta ini merupakan cintanya kita untuk mengajak dia semula kepada jalan keredhaan Allah swt sehinggalah kita bertemu semula denganNya dipuncak kemenangan abadi yakni menuju Jannah Allah Azza Wa Jallah.

Ini jelas melalui hadis Rasulullah saw:

"Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim). 

Sungguh ayat kasih diatas menggambarkan bagaimana kita seharusnya mencintai saudara seakidah kita seperti mana kita mencintai diri kita sendiri. Tatkala kita berhajat menuju kasih sayang Allah kita juga harus membawa mereka bersama-sama kita. Tatkala kita mengimpikan syurga Allah kita juga seharusnya bersama-sama syurga kerana itu tandanya cinta dan sayangnya kita kepada mereka.

Usai kata mengorak langkah yang sudah terlalu lama ini, saya simpulkan berdakwahlah kita kepada sekalian ummah dengan penuh kasih dan cinta kerana Allah. Momentum cinta yang dihembuskan pada nafas dakwah ini merupakan senjata dakwah yang paling ampuh bagi memenangi hati-hati umat manusia.

Dakwah dan Cinta seharusnya bergerak seiring dan merupakan pasangan yang ideal yang harus dibawa kemana jua kita berada. Seperti mana sirah Rasulullah saw yang menyampaikan rasa kasih dan cintanya kepada seorang wanita tua yahudi buta yang mengutuk baginda, tetapi baginda tetap menolongnya bahkan menyatakan dialah Nabi Muhammad saw. Sahsiah dakwah yang diiringi kasih dan cinta Rasulullah saw membuatkan hati wanita tua yahudi itu tadi terus terasa begitu indahnya Islam dan segera pula ia memeluk Islam.

Subhanallah..

Bagaimana pula dakwah kita? Persoalan itu hanya kita yang mampu menjawabnya. Saya berharap dengan nota ringkas perihal dakwah dan cinta ini mampu sedikit sebanyak mengubah minda fikir kita untuk terus istiqomah dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah kepada ummah ini. Aamiiiin.

Sekian, Terima Kasih

0 comments:

Post a Comment