Wednesday 15 May 2013

Dia Iron Man Sebenar



"Wah.. Best betul cerita Iron Man 3 ni kan Amirul"

"Yelah.. Tak rugi aku beli DVD ni. Walaupun harganya agak mahal jugak. Filem yang penuh aksi dan hero yang sangat hebat. Hahaha"

Begitulah bual bicara kami yang rancak sambil ketawa keriangan selepas menonton bersama movie baru Iron Man 3 di rumah Amirul.

Tidak berapa lama kemudian seseorang memberi salam.

"Assalamu'alaikum wbt. Apa yang rancak sangat perbualan kamu berdua ni? Sampai kedengaran dari bawah  rumah lagi"

Dia abang kandung amirul, namanya Asyraf. Kami memanggilnya Abang Acap.

"Wa'alaikumussalam. Takda apalah Abang Acap, kami baru je habis tengok movie Iron Man 3 yang baru keluar ni"

Aku menjawab dengan selamba.

"Wah.. Up to date betul kamu berdua pasal movie ni. Apa yang menarik pasal movie ni?"

"Best sangat-sangat, heronya bukan sahaja bijak namun hebat dan luarbiasa. Rasanya nak jadi macam dia plak.. Ya. I'm Tony Stark! Hahaha"

Amirul menjelaskan pada Abang Acap sambil membuat aksi seakan-akan hero Iron Man.

"Dia tu tak hebat pun. Abang kenal dengan seorang Iron Man sebenar, lagi hebat"

"Haaa!!!! Betul ke ni Abang Acap? Kat mana?"

Aku yang terkejut dengan jawapan Abang Acap yang seolah-olah tidak masuk akal.

"Jom ikut Abang kita pegi jumpa dia kalau tak pecaya"

Kami berdua pun pergi bersama Abang Acap untuk bertemu Iron Man sebenar. Tapi benarkah Iron Man sebenar ni wujud? Ah.. Mungkin Abang Acap saja nak kenakan kami berdua ni.

"Haaaa... Kita dah sampai"

"Apa ni bang? Kenapa bawak ke bengkel Ayah?"

Amirul bersuara dengan nada yang geram.

"Sebab.. Iron Man tu ada kat sini"

Abang Acap menjawab dengan tenang sambil tersenyum.

Di sini merupakan bengkel buat bilah parang milik ayah mereka. Kami bertiga melihat ayah mereka dari kejauhan.

"Amirul.. Lihatlah ayah kita tu. Walaupun dia dah tua dimamah usia, namun dia masih tetap gagah mencari sesuap nasi untuk kita sekeluarga. Ayah adalah orang yang hebat dan luar biasa kerana Ayah membesarkan dan menyara keluarga kita berdua dengan baik. Meskipun Ayah cuma seorang tukang besi namun dengan titik peluh keringat ayah, Abang berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Amirul.. Ayah adalah Iron Man sebenar bagi abang, dia hero Abang kerana dia sentiasa ada bila Abang memerlukannya dan sungguh Abang berbangga punya Ayah sepertinya walaupun dia seorang tukang besi"

Abang acap menjelaskan kepada kami dan kelihatan matanya yang berkaca-kaca. Aku melihat amirul juga tunduk sambil mengusap air mata sayu. Aku tahu kalau kata-kata itu mengetuk pintu hatinya.

Allahu Rabbi.

Sungguh benar kata-kata abang Acap. Ia benar-benar menyentap perasaan aku tatkala kami leka memuji adiwira buatan manusia sedang kami lupa pengorbanan adiwira sebenar kami. Memang betul dia Iron Man sebenar, adiwira yang dikurniakan Allah untuk kita. Mereka adalah sang ayah yang tetap gagah demi membesarkan serta menyara keluarga.

Aku sayang ayah. :')


0 comments:

Post a Comment