Thursday 16 May 2013

Cacat Anggota Namun Hatinya Sempurna

*Sekadar gambar hiasan.


Mataku terbuka dek kerana terjaga apabila pintu bilikku diketuk oleh abangku yang mengejutkanku untuk bersahur. Alhamdulillah.. Aku bangun dan mengucap rasa syukur kerana masih diberikan nikmat penghidupan di bulan penuh barakah ini bulan ramadhan. Alhamdulillah.. Tidak sedar sudah tiba di hari yang keempat aku berada dibulan ramadhan ini. Begitu tinggi kasih dan sayangnya Allah memberiku ruang dan peluang untuk terus menjalani ibadah puasa lagi. Segera aku turun kebawah kerana kedengaran suara ibuku juga memanggil namaku untuk bersahur bersama. Subhanallah.. Memang benar sabda baginda Rasulullah saw kalau bersahur itu penuh dengan keberkatan. Aku mengucap rasa syukur kerana keberkatan yang pertama kami sekeluarga duduk untuk sahur bersama. Hati bahagia dan terus membunga bila duduk bersama keluarga didalam bulan ramadhan ini.

Setelah selesai bersahur aku terus melaju untuk bersiap diri kerana sebentar sahaja lagi masuk waktu subuh. Sempat juga aku melamar bidadari diwaktu itu dengan kutunaikan dulu solat tahajjud dikamarku sendirian. Memang belum tentu lamaranku diterima dan aku tidak pasti lamaranku yang mana akan diterima. Justeru itu, aku terus menerus melamar bidadari disetiap hari. Namun, itu cuma satu daripada kelebihan tahajjud kan. Kerana kelebihan yang tertinggi itu adalah kita hendak melamar kasih sayang dan rahmatnya Allah. Mudah-mudahan kita istiqomah menunaikannya.

Begitu aku selesai berdoa didalam solat tahajjudku, segera aku bangun menuju kuda hitam yang selalu aku tunggangi tatkala menuju masjid menunaikan solat. Anda pasti terkejut bukan kalau aku itu memelihara kuda. Ya pasti tidak lah. Itu cuma metafora ku saja didalam cerita ini, kerana kuda yang kumaksudkan motor modenas kriss 100 cc berwarna hitam. Ku pijak pelantar motorku untuk dihidupkan, Alhamdulillah cuma sekali percubaan saja motor sudah hidup. Memang tuannya begitu arif menjaga motor walaupun sudah berusia 4 tahun tapi masih berkeadaan baik kan.

Subhanallah dalam perjalanan itu, aku menghirup udara nyaman di daerah kecilku ini, dan aku juga mendongak kelangit kerana masih melihat pancaran sinar rembulan yang menipis dek kerana ditutupi awan tebal. Subhanallah.. Indahnya ciptaanMu ya Allah. Semoga saja aku menjadi hambaMU yang selalu melihat kebesaranmu. Pada ketika tidak begitu jauh daripada masjid sudah kedengaran suara azan, lantas aku terus memutarkan pelaras kelajuan motorku agar motorku bergerak lebih kencang lagi kerana takut aku tidak sempat menunaikan solat sunat rawatib.

Begitu aku bergerak laju dibawa motorku dan semakin hampir menuju masjid, dihadapan sana aku melihat susuk tubuh yang juga menuju masjid. Lantas secara automatik kaki dan tanganku menekan pelana brek untuk menghentikan motorku ditepi susuk tubuh itu kerana bagiku kalau aku tumpangkan dia ke masjid pasti aku sudah peroleh saham akhirat seawal subuh begini . Begitu aku berhenti aku melihat susuk tubuh itu insan yang aku kenali. Dia adalah insan istimewa. Lantas segera aku menawarkannya untuk naik bersamaku sama-sama kemasjid. Namun, begitu dia mendengar pelawaanku itu segera pula dia menolak.

"Pergilah aku tidak boleh naik motorsikal kerana keadaanku tidak sempurna. Tidak apa aku boleh jalan kaki saja. Lagi pula sudah dekat. Terima kasih ya" 

Mendengar tuturnya aku terkedu. Terkedunya diriku ini, bukan kerana dia menolak pelawaanku. Namun aku terkedu dek kerana melihat HAMBA ALLAH yang mulia sepertinya. Tadi aku sudah bilang kalau dia insan istimewa kan, pasti kalian bertanya istimewa yang bagaimana? Ya dia insan yang istimewa kerana dia insan kurang upaya. Dia cacat anggota sejak kecil natijah dari demam panas yang dia alami suatu ketika dulu. Kakinya membengkok dan tangan kanannya juga tidak boleh bergerak seperti manusia biasa dan itulah yang disebut cacat anggota.

Subhanallah.. Begitu aku merasa malu yang teramat sangat dengan dia, kerana walaupun dia cacat anggota dia sering datang kemasjid diawal waktu. Setiap kali tiba waktu solat dimasjid itu pasti kelihatan wajahnya. Cacat pada anggota namun hatinya sempurna, kerana dia tidak menjadikan kecatatannya itu sebagai alasan untuk tidak mengabdi kepada sang pencipta. Bahkan, dia jauh lebih mulia daripada insan yang sempurna anggota namun kufur dengan nikmat yang Allah anugerahkan kerana memberi seribu satu alasan untuk tidak mengabdi. Tidakkah mereka merasa malu kalau sempurna anggota namun cacat cela hatinya.

Ya Allah... Begitu peristiwa ini benar-benar mentarbiyah diriku ini yang juga cukup anggota yang kau anugerahkan dan masih bermalas-malasan dalam menunaikan ibadah padaMu. Subhanallah.. Luar biasa hebat tarbiyah ramadhan yang Kau berikan padaku Ya Allah. Semoga sahaja hati ini masih mampu untuk merasa sedikit didikan tidak formal seperti ini. Diatas hamparan sejadah yang empuk terbentang di masjdi itu, begitu terasa semasa aku memanjatkan doa' sehingga tanpa kusedari manik-manik air mataku mengalir lewat kedua belah pipiku. Aku merasa malu dan terus merasa malu bila melihat ada hamba yang tidak sempurna sepertinya namun lebih sempurna dimata Allah berbanding diriku.

Ayuh.. Aku mengajak diri dan teman-teman kita jadikan kisah ini sebagai anjakan paradikma agar kita tidak kalah oleh nafsu yang membiarkan kita terhina oleh nikmat yang dianugerahkan keatas kita. Nikmat itu bukan milik kita, masa itu bukan milik kita, bahkan setiap inci anggota yang kita punya ini juga bukan milik kita, apatah lagi harta yang ada juga bukan milik kita. Semua itu cuma pinjaman untuk kita diatas muka bumi ini, pinjaman yang diberikan oleh tuhan yang Maha Pemurah yakni ALLA AZZA WAJALLA. Namun, usah kita berkira-kira dan bermalasan lagi untuk kembali mengabdi kepada tuhan yang mencipta, kerana bahkan diri kita ini juga miliknya. Selayaknya kita fokuskan penghidupan kita untuk terus menerus mengabdi padaNYA, di dalam melalui ranjau kehidupan dunia yang fana ini.

ISLAM itu kan serba lengkap dan syumul bahkan ia agama yang mudah tetapi jangan ambil mudah ya. Kerana seluruh penghidupan itu harus ditranformasikan kepada saham akhirat. Bagaimana caranya ya? Kalau itu pertanyaan kalian, pasti akau akan beri tahu kalau seluruh apa jua yang kita lakukan selagi tidak melanggar hukum syarak dalam ISLAM diniatkan kerana ALLAH (LILLAHI TA'ALA) maka ia adalah ibadah.

Dikesempatan bulan mulia yang menjadi salah satu anugerah yang terbesar dari Tuhan pencipta untuk kita, mari kita perbaiki amalan-amalan harian. Kita perelokkan tingkah laku yang tidak enak. Kita munajat dan meminta dengan kesungguhan. Kita tangisi dan sesali segala dosa. Kita indahkan hati dengan zikrullah. Kita basahi bibir dengan membaca kalam-kalam Allah. Mudah-mudahkan kita berjaya melalui madrasah ramadhan ini hingga mengecapi malam terbaik dari seribu malam iaitu Lailatu Qadar. Semoga kita juga akhirnya menjadi graduan yang bergelar LAALLAKUM TATTAKUN (Agar kalian bertaqwa) yang sudah kembali suci kepada fitrah kejadian dan terus merayakannya di hari RAYA EIDUL FITRI.

Lupakan dulu rayanya dan fokus dulu puasanya yang masih terlalu mentah ini, kerana baru hari yang keempat kan. Sudah dulu penceritaanku dan kutinggalkan ini untuk kalian.

Al-Mulk [15] :

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)"


Dicatat Oleh :

Jumat MS

11:50 AM

Selasa (24/Julai/2014)

0 comments:

Post a Comment