Friday 17 May 2013

Bangunlah Sayang



Alhamdulillah.. Bersyukur kehadrat Allah SWT, kini genaplah sudah satu minggu aku bergelar suami. Sungguh indahnya kehidupan berumah tangga, tatkala ia dibina atas jambatan Iman kepada Allah Azza Wa Jalla.

Sungguh inginku kongsikan pengalamanku bersama teman hidupku, yang setia menjadi sayap kiri dalam perjuanganku melalui liku-liku kehidupan duniawi yang mendatang.

Sebelum subuh semalam. Aku mengajak isteriku untuk solat tahajjud, melamar kasih sayang Allah sementara hamba-hamba yang lainnya sedang tidur dibuai mimpi.

Sebelum aku mengejutkan isteriku tercinta, aku menatap dulu raut wajahnya yang sedang tidur. Kusaksikan setiap inci raut wajahnya, kelihatan isteriku begitu letih. Mungkin saja kerana kami mengemaskan rumah sewa yang baru kami diami ini.

Terdetik pula aku mendoa'kan isteriku ini. 
"Ya Allah.. Engkau redhailah isteriku ini, kerana aku juga meredhainya sebagai isteri yang solehah. Sungguh benar, aku amat mencintainya kerana agamanya. Aamiiin"

Ah! Aku sudah lewat. Lebih baik aku kejutkan isteriku ini.

"Sayang... Bangunlah sayang! Kita solat tahajjud bersama"

Aku memujuknya dengan panggilan yang lembut sambil mengusap rambutnya dengan tanganku yang masih basah dengan air wuduk tadi.

"Erm... Abang solatlah dulu. Sayang letihlah bang"

Isteriku menjawab dengan suara yang lemah sambil menggeliat.

Aku merapatkan mulutku menghampiri cuping telinganya lalu membisikkan perlahan.

"Bangunlah sayang... Abang tak mahu solat bersendirian tanpa ditemanimu. Kerana abang takut nanti di akhirat sana, tahap syurga kita berbeza. Abang ingin melamar bidadari syurga malam ini, dan bidadari syurga itu adalah dirimu sayang. Abang tak sanggup hidup tanpamu hatta hidup tanpamu di syurga Allah"

Mendengarkan kata-kataku ini, isteriku terus membulatkan matanya kerana terkejut dan segera ia bangun dan memelukku.

"Ya Allah.. Ampunkan hambaMu ini ya Allah. Aku telah berdosa pada suamiku. Maafkan sayang bang. Abang maafkan lah sayang"

Isteriku menangis keinsafan dan memohon kemaafan padaku.

"Abang, tidak perlu kata maaf darimu sayang. Abang tidak memarahimu. Justeru abang menyayangimu abang mengajakmu solat bersama"

Mendengarkan kata-kataku itu, isteriku tersenyum sambil mengusap air matanya. Kami pun solat tahajjud bersama.

Allahurabbi. Begitu indah hidup ini kurasakan. Sungguh suami itu acuan isteri, kalau baik didikan suaminya maka baik pula sahsiah isterinya. Semoga sahaja aku mampu menjadi contoh pada isteriku serta aku mampu mendidiknya dengan penuh hikmah.


0 comments:

Post a Comment