Tuesday 21 May 2013

Abang-abang Apollo




Alhamdulillah.

Bersyukur kehadrat Allah swt. Saya baru sahaja balik menyampaikan kuliah maghrib kepada adik-adik asrama di Surau Assyakirin SMK Kunak.

Dalam sedar dan tidak sedar, sudah hampir dua tahun kami menyampaikan kuliah maghrib di sana setiap minggu. Walaupun ada kalanya dek kerana kekangan masa kami tak dapat datang namun, kami berusaha untuk datang juga berkongsi ilmu dengan adik-adik semua.

Teringat diawal kami bermula dulu, masa tu saya dan sahabat saya baru balik ke Kunak selepas menamatkan pengajian. Diawal dulu saya, sahabat saya Ismail dan Mohamad berfikir apakah misi dakwah yang boleh kami kongsikan pada masyarakat di daerah Kunak.

Akhirnya, kami berfikir medan yang begitu besar bagi kami adalah adik-adik pelajar asrama di dua buah sekolah berasrama di Kunak iaitu SMK Kunak, dan SMK Madai.

Selepas mendapat kebenaran daripada warden asrama kami tetapkan setiap hari selasa ceramah di SMK Kunak, dan setiap hari rabu di SMK Madai adalah jadual kuliah maghrib kami.

Teringat lagi pada hari pertama kami datang surau SMK Kunak, untuk solat maghrib bersama. Kami terkejut apabila pelajar yang datang tidak ramai cuma sekitar belasan orang pelajar sahaja. Namun, itu tidak melunturkan semangat kami untuk terus berdakwah kepada mereka.

Selepas kami berfikir bagaimana cara untuk kami menarik minat mereka datang mendengarkan majlis ilmu bersama kami, kami pun bercadang untuk membawa makanan snek iaitu Apollo Layer Cake sebagai hadiah bagi sesiapa yang bertanya soalan ataupun menjawab soalan. Sehinggakan adik-adik asrama menggelarkan kami abang-abang Apollo.

*Kami bawa satu kotak kecil macam ni, almaklumlah bajet ciput. ^_^


Adakalanya kami tukar hadiah itu seperti majalah. Alhamdulillah. Selepas beberapa bulan strategi kami berjaya, setiap minggu kami melihat pertambahan pelajar datang ke surau. Sungguh membuatkan hati kami merasa gembira.

Kami teruskan kuliah maghrib itu dan menyampaikan tajuk-tajuk yang mengajak adik-adik asrama kepada Islam, mendekatkan diri kepada Al-Qur'an, berbuat baik kepada ibu bapa dan guru, menjadi hamba Allah yang soleh, Ikhlas kerana Allah dan macam-macam lagi tajuk yang kami kongsikan.

Sehinggalah suatu ketika kami tidak lagi membawa Apollo. Pada ketika itu, kami bertanya kepada adik-adik asrama.

"Adik-adik semua. Minggu ni kami tak bawa Apollo. Tak apa ke?"

Lalu dengan spontan adik-adik tu menjawab.

"Takpa bang kami datang ke kuliah maghrib ni bukan kerana Apollo, tapi kerana Allah SWT"

Allahu Rabbi.

Mendengarkan jawapan mereka sungguh hati kami tunduk menyembah rasa bersyukur pada Allah SWT. Sungguh adik-adik itu telah memahami erti ikhlas kerana Allah.

Tatkala kami tak datang dalam beberapa minggu, tidak kurang yang hantarkan SMS untuk mengajak kami datang, hantar Private Massage pada kami di Facebook. Ada juga yang terserempak dengan saya di stesen minyak dan berkata:

"Abang kenapa dah beberapa minggu abang tak datang bagi kuliah maghrib? Abang datanglah minggu ni, kami semua rindu kuliah maghrib dari abang-abang semua"

Allahu Rabbi.

Mereka membuatkan aku menangis lagi. Kadang-kadang rasa diri ini berdosa tatkala rasa malas untuk pergi berkongsi ilmu pada mereka.

Alhamdulillah. Tadi masih ramai lagi pelajar yang datang, walaupun sudah agak lama saya tidak datang menyampaikan kuliah maghrib. Melihat sahaja keretaku menuju ke surau adik-adik semua tersenyum dari kejauhan.


Pada ketika aku menuju disana, mereka melaju pula menghampiri aku dan bersalaman kepadaku. Allahu Rabbi, terasa mereka begitu merindukan aku. Aku tersentuh lagi.


Pada ketika menyampaikan ceramah tadi, aku bertanya kepada mereka.

"Sebenarnya abang rindukan adik-adik semua, sungguh sudah lama abang tak datang kesini"

"Kami semua rindukan abang jugak"

Pantas pula seorang daripada mereka menjawab. Akupun tersenyum.. Namun, senyumanku itu tidak kekal lama. Kerana hari ini merupakan hari terakhir aku sampaikan kuliah maghrib bersama mereka, kerana minggu hadapan aku akan berhijrah ke semenanjung.

Sayup hati ini untuk meninggalkan medan-medan dakwah di sini, namun aku tahu hijrahku sementara ini juga perlu untuk dakwah yang mendatang. Adik-adik semua, abang minta maaf andai ada salah silap pada adik-adik, abang juga mohon maaf andai abang ini bukan contoh terbaik untuk kalian.

Adik-adik ingat pesanan-pesanan abang pada adik-adik semua. Abang doa'kan semoga adik-adik semua menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. In shaa Allah. Aamiiin.

Saat selesai aku mengimamkan solat Isyak bersama mereka, tidak kulepaskan peluang untuk bersalaman kepada mereka dan mengambil gambar kenangan. Sehinggalah ketika aku sudah menuju pulang ada yang menjerit.

"Semoga Allah merahmatimu di dunia dan akhirat bang!"

Aku menangis dan tidak menoleh lagi. Ya Allah. Aku sayangkan adik-adik ini keranaMu ya Allah. Izinkanlah kami bertemu lagi selepas ini. Aamiiiin.

Kepada sahabatku Ismail dan Mohamad, teruskanlah perjuangan dakwah ini walaupun tanpa diriku yang lemah ini. Sungguh Allah SWT ada bersama kalian, dan sungguh adik-adik ini semua memerlukan antum berdua. Semoga Allah SWT memberi kekuatan buat antum berdua, mohon maaf kerana meninggalkan bebanan dakwah ini untuk antum berdua.

Pengalaman ini pasti tidak dapat kulupakan sampai bila-bila. In shaa Allah. Suatu hari nanti aku akan kembali juga untuk berkhidmat untuk ummah di Kunak ini. In shaa Allah.



*Senyuman manis adik-adik semua tak mungkin abang lupakan. Jumpa lagi. :')

0 comments:

Post a Comment