Wednesday 26 October 2011

INDAHNYA MABUL

          

              Alhamdulillah, hari ini aku akan pulang ke negeri kelahiranku di Semporna Sabah. Sudah begitu lama aku meninggalkan kampungku, rasa rindu ini kian mencengkam hatiku apabila terkenangkan kampungku di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

             Kini aku telah berjaya menamatkan pengajianku selama 4 tahun di Universiti Al-Azhar dalam bidang  pengajian Al-Qur'an dan Sunnah. Sudah pasti kedua-dua ibu bapaku, adik-adikku dan insan teristimewa bagiku gembira kerana aku berjaya menamatkan pengajian di sana.

              Setibanya aku dilapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Begitu ramai orang yang berada di sana, bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan juga pelancong luar negara. Malaysia sekarang sudah semakin maju, agak berbeza berbanding 4 tahun lalu.
          
             "Rasanya elok aku terus check in dulu, kerana terlalu banyak bagasi yang aku bawa" Aku bermonolog dalam hati.  Penuh bagasi aku kerana telah kusediakan ole-ole (hadiah) untuk ibu, ayah, adik-adikku dan pastinya untuk insan teristimewa bagiku.

"Mungkin Arif, Munira, dan Nur A'in sudah dewasa" Aku bermonolog lagi  sambil terbayangkan wajah ketiga-tiga adik kesayanganku itu.

"Pasti adik-adikku gembira apabila melihat ole-ole (hadiah) ini" Aku berkata sendirian sambil tersenyum.

             Aku terus melangkah penuh semangat menuju kaunter daftar masuk penerbangan sambil terukir senyuman indah di raut wajahku. Tiba di kaunter aku melihat seorang abang yang menjaga kaunter itu, dan aku terus melontarkan senyuman padanya.

"Assalamu'alaikum wbt" Aku memberi salam padanya sambil tersenyum.

"Wa'alaikumsalam wbt, sila tunjukkan kad pengenalan dik" dia menjawab salam dan meminta kad pengenalanku.

"Ni bang" Aku menghulurkan kad pengenalanku padanya dan meletakkan bagasiku di tempat bagasi.

"Terima kasih dik, tunggu sekejap ya, abang periksa dahulu" Sebaik sahaja dia menerima kad pengenalanku dia terus melaju menekan papan kekunci komputer dihadapannya.

"Sudah selesai, ini pass boarding adik ya, selamat jalan ke destinasi yang dituju" Dia menghulurkan pass boarding dan memberi ucapan selamat padaku.

"Terima kasih banyak ya bang" Aku tersenyum dan terus beredar ke bahagian menunggu penerbangan.

"Alhamdulillah.. tidak ada sebarang masalah di kaunter tadi, dan abang yang jaga kaunter tu pun begitu ramah orangnya. Terima kasih ya Allah kerana Engkau mudahkan urusanku" aku bermonolog di dalam hati dan terus melangkah ke bahagian menunggu penerbangan.

               Tiba dipintu masuk bahagian menunggu penerbangan aku diperiksa oleh seorang pegawai polis selepas menunjukkan pass boarding kepadanya, dan dia memintaku untuk mengangkat kedua belah tanganku sambil memeriksaku.

"Ok terima kasih dik, sila masuk" itulah kata-katanya selesai sahaja dia memeriksaku.

"Terima kasih tuan" aku pun terus masuk kedalam.

               Wah! Ramainya orang satu penerbangan denganku, mesti semua ini adalah pelancong yang nak berkunjung di Negeriku, terutama kampungku Pulau Mabul memang mereka suka untuk datang kesana maklumlah salah satu taman laut yang terindah di dunia.

              Aku pun terus meluru kearah sebuah kerusi yang kelihatan kosong dipenjuru sana. Sebaik sahaja aku hendak duduk aku melihat ada seorang pakcik sedang membaca akhbar di kerusi sebelah.

"Assalamu'alaikum wbt" aku memberi salam padanya.

"Wa'alaikumusalam wbt" pakcik itu menjawab.

"Maaf mengganggu pakcik, boleh saya duduk di kerusi ni" aku bertanya sambil menunjuk kerusi itu.

"Boleh, duduklah lagi pula memang tidak ada orang yang duduk di situ" Pakcik itu menjawab sambil tersenyum padaku.

"Terima kasih pakcik" aku menjawab dan terus duduk.

"Nama saya Ahmad Fathi bin Abdul Razak" Aku memperkenalkan diri pada pacik itu dan menghulurkan salam padanya.

"Owh, nama pakcik Hj. Ramli bin Ujang, panggil Pakcik Li je" dia juga memperkenalkan diri dan menyambut salamku.

             Kami pun berkenalan terus pada ketika itu. Tak sangka pacik li merupakan seorang pensyarah kanan di pusat penyelidikan di Universti Sains Malaysia dan dia merupakan seorang professor sebenarnya. Bertuah aku dapat berkenalan dengannya. Apa yang lebih menggembirakan dia juga hendak pergi ke Pulau Mabul untuk membuat kajian tentang hidupan laut di sana, nampaknya kami punyai destinasi yang sama.

Tidak berapa lama kemudian.
            
Perhatian! Kepada semua penumpang-penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH2660 , penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau pukul 11.00 Tengahari ini ditunda kepada pukul 02.00 Petang ini, disebabkan oleh keadaan cuaca yang kurang baik. Sebarang kesulitan adalah amat kami kesali. Mohon maaf atas kesulitan ini. Terima Kasih. (Makluman Penangguhan Penerbangan oleh pihak berkuasa lapangan terbang)

Makluman itu ditujukan kepada kami.

"Ya Allah, kenapa boleh berlaku seperti ini" Aku mengeluh.

"Ahmad, ada hikmah semunya itu" Pakcik Li menegurku.

              Aku pun tersenyum dan memujuk hatiku agar tidak rasa mengeluh lagi, benar kata-kata Pakcik Li pasti ada hikmah semua ini. Apa yang pasti, hikmah pertama adalah aku dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi bersama Pakcik Li.

"Ahmad, sudah lama Pakcik mendengar pasal kecantikan dan keindahan Pulau Mabul, terutamanya keindahan yang terdapat di dasar lautan sehinggakan ia menjadi salah satu pulau yang tercantik didunia. Justeru itu Pakcik datang bersama rombongan daripada USM ni untuk buat kajian sambil melancong" Pakcik Li memberitahu padaku.

"Pakcik tidak dinafikan keindahan dan kecantikan hidupan laut yg berada didasarnya. Namun, terdapat sesuatu yang lebih indah pada sudut yang lain bagi saya" Aku memberi respon pada Pakcik Li.

"Oh ya? Apa maksud kamu Ahmad?" Pakcik Li terkejut dan bertanya padaku.

"Pakcik sebenarnya keindahan Pulau Mabul bagi saya kerana di sana ada seorang yang begitu istimewa bagi saya. Saya cukup menyayanginya dan saya cukup menghormatinya" Aku menjelaskan.

"Owh.. Pasti dia adalah calon isteri kamu kan Ahmad?" Pakcik Li cuba untuk meneka.

              Aku tersenyum sambil memandang wajah Pakcik Li.

"Bukan, dia adalah orang yang mendidikku sejak kecil lagi" Aku menjawab sambil membayangkan wajah insan yang istimewa itu.

"Dia adalah Ustaz Mursyid bin Rahman, seseorang yang mendidik saya di sekolah agama rakyat yang terdapat di Pulau Mabul" Aku terus bercerita kepadanya.

"Apa yang menyebabkan dia begitu istimewa bagi kamu Ahmad?" Pakcik Li terus bertanya.

"Pakcik, dia seorang ustaz yang mempunyai jiwa yang besar dan sangat luarbiasa, dia mengajar kami di situ tanpa menerima sebarang gaji daripada mana-mana pihak. Apa yang membuatkan saya bertambah kagum dia mengajar di sekolah itu seorang diri walaupun bilangan pelajar di sekolah itu seramai 300 orang pelajar" Jelasku pada Pakcik Li.

"Apa! 300 orang! bagaimana dia boleh lakukannya seorang diri?" Pakcik Li semakin berminat untuk mengetahui mengenai Ustaz Mursyid.

"Ya dia mengajar kami seorang diri Pakcik. Masih segar lagi dalam ingatanku cara dia mengajar pada kami, dia akan bermula di kelas yang paling rendah di kelas darjah satu dengan menuliskan perkara-perkara yang hendak diajarkan, selesai saja menulis dia akan beralih ke kelas seterusnya sehinggalah kelas darjah 6 dan dia akan minta pelajar salin apa yang dia tulis. Apabila telah menulis kesemua kelas dia akan kembali semula ke kelas pertama dan dia akan menerangkan apa yang telah dia tulis tadi sehinggalah ke kelas yang terakhir. Begitulah luarbiasa seorang yang istimewa dan saya gelarkan sebagai sang murabbi" Aku menceritakan dengan penuh semangat.

"Subhanallah! begitu luar biasa insan itu Ahmad" Pakcik Li merasa kagum.

"Bukan itu sahaja Pakcik, dia juga berdakwah ke seluruh pulau-pulau yang terdapat disekitar perairan semporna dengan menumpang bot-bot nelayan sahaja, dia juga pernah bercerita pada saya, ada suatu ketika dia hendak pergi ke Pulau Mabul untuk menyampaikan kuliah magrib namun dalam perjalanan bot yang dia naiki itu rosak. Sehinggakan mereka hanyut jauh dan mereka berada di atas bot sampai waktu malam. Mujurlah Allah membantu mereka, dengan izinnya lalu la sebuah bot lain dan memberikan pertolongan pada mereka." Aku bercerita dan tidak kusedari pipiku dilinangi air mata.

"Allahuakbar! Mulianya insan ini, dan tidak Pakcik sangka di tengah-tengah kerosakan umat yang mementingkan harta benda ini masih terdapat orang yang begitu ikhlas melakukannya kerana agama." Pakcik Li memuji dan merasa terkejut.

"Pakcik sekolah kami adalah teramat daif dan buruk, tidak ada kipas hanya berlantaikan tanah dan kadang kala diwaktu hujan akan menitik air kedalam kelas. Namun, sedikitpun tidak menggugat semangat Ustaz Mursyid untuk mengajar pada kami. Ustaz juga kadang-kala dipanggil oleh pengurusan hotel berhampiran untuk menjadi juru bahasa arab kepada pelancong-pelancong arab. Alhamdulillah.. rezeki kami semua, apabila ada pelancong arab bersimpati pada kami dan memberikan sedekah dan merubah struktur sekolah kami" Ujarku panjang lebar pada Pakcik Li.

               Mata Pakcik Li tajam memerhati wajahku dan mendengar dengan teliti.

"Ada ketikanya juga, pelancong daripada barat melawat kepada kami dan mereka menawarkan untuk merubah sekolah kami kepada sekolah yang lebih mewah, namun tawaran mereka ditolak oleh Ustaz Mursyid" Aku terus bercerita.

"Kenapa Ustaz menolaknya?" Pakcik Li terus bertanya.

"Biarlah kita hidup dalam keadaan susah payah asalkan tidak kita menggadaikan agama Allah! Itulah jawapan daripada Ustaz ketika saya bertanya padanya."   beritahuku pada Pakcik Li.

            Demikianlah aku terus bercerita kepada Pakcik Li, dan salah satu sebab kenapa aku melanjutkan pelajaran dalam bidang Al-Qur'an dan Sunnah di Universiti Al-Azhar kerana pada suatu ketika Ustaz Mursyid bertanya padaku.

"Ahmad, suatu ketika nanti Ustaz akan tua dan pasti tidak ada lagi dibumi Allah ini. Justeru itu, Ustaz terlalu bimbang siapakah yang akan meneruskan kerja-kerja Ustaz ini?, kerana kerja-kerja ini bukan dihamparkan dengan kemewahan bahkan ia penuh dengan ujian dan kepayahan."

             Lantas aku rasa terpanggil dan terus terpacu dibibirku,

"Ustaz, akan kupasakkan cita-cita untuk menggantikan tempat itu, biarlah ia penuh dengan  ranjau dan duri di dunia ini Ustaz, namun insya'Allah pasti kita peroleh ganjaran yang setimpal diakhirat nanti."

            Mendengar sahaja tuturku itu, Ustaz menangis lalu memelukku dengan erat. Aku tahu begitu tinggi harapan Ustaz kepadaku. Harapan itu, bukan harapan daripada seorang Ustaz kepada anak didiknya, namun harapan sebuah umat yang lebih besar.

"Subhanallah! Hebat dan luarbiasa insan yang begitu mencintai Rabb dengan sebenar-benarnya." Pakcik Li memuji dan kelihatan butiran air mata juga mengalir dipipinya. Suaranya mulai berubah menjadi serak.

"Ahmad, bolehkah kamu bawa Pakcik untuk bertemu dengan Ustaz itu?" Pakcik Li bertanya dengan penuh kesungguhan.

"Insya'Allah.. kalau sampai sana nanti saya bawa Pakcik bertemu dengannya" Aku terus meyakinkan Pakcik Li sambil tersenyum.

******************************************************************************

Setibanya kami di Pulau Mabul.


            Alhamdulillah... Akhirnya aku selamat sampai ke kampung halamanku. Aku menarik nafas dalam-dalam sambil memejamkan mata. Sudah pasti wajah-wajah orang yang kusayangi akan muncul.

"Ahmad di mana sekolah kamu itu?" Pakcik Li bertanya kepadaku.

               Tersentak dengan pertanyaan itu, aku terus membawa Pakcik Li ke sekolahku. Tidak berapa lama kemudian kami tiba di sekolahku.

"Masih seperti dulu sekolah ini, mana Ustaz ya? Pasti dia berada di dalam kelas ketika ini" Aku bermonolog sendirian.

             Langkahku perlahan-lahan menuju kelas, diringi dengan riuh rendah suara anak-anak sekolah. Pakcik Li terus setia mengekoriku dibelakang. Lantas langkahku terhenti, mendengarkan suara yang selalu kudengari dulu.

"Ahmad, kenapa kamu berhenti?" Pakcik Li bertanya dengan rasa hairan.

             Aku berdiam diri dan tidak menjawab pertanyaan Pakcik Li. Aku meneruskan langkahku meluru suara yang kudengar itu. Pada ketika aku sampai dipintu kelas itu, aku melihat sebuah susuk tubuh yang kian melemah, wajah seorang pendidik yang kian berkedut, suara yang juga tersekat-sekat dek kerana batuk, rambut dan janggut kian memutih, dan walaupun wajah dan susuk tubuh itu berubah namun aku pasti semangat dan jiwanya tetap membara dan tidak goyah. Insan itulah Ustaz Musyid, dia masih tidak sedar akan kehadiranku.

"Assalamu'alaikum wbt Ustaz." Aku memberi salam ditemani air mata melihat murabbiku yang kian tua namun masih gagah berdiri untuk mendidik.

             Kelihatan dia menoleh dan memandang wajahku, perlahan dia menerpa padaku dan memerhatikan setiap sudut wajahku.

"Wa'alaikumsalam wbt. Kamu ka itu Ahmad? Itu kamu kan Ahmad?" Ustaz menjawab salamku dan terus meluru gagah mendakapku.

"Alhamdulillah ya Allah, Engkau makbulkan doa' hambamu ini. Syukurlah kau telah pulang Ahmad." Ustaz merafakkan kesyukuran dan masih memelukku erat.

              Pelukan seorang murabbi ini, masih seperti pelukan ketika aku kecil dahulu. Tidak ada kata yang terucap, hanya desiran airmata yang mengalir. Rasa syukur, rasa gembira dan rasa bangga, kerana masih diberi peluang untuk bertemu dengan sang murabbi itu.

"Oh ya Ustaz, ini saya bawakan sebuah hadiah untukmu. Masihkah Ustaz ingat sebelum saya pergi ke Mesir dulu? Saya pasti akan hadiahkan Ustaz sebuah Al-Qur'an Tafsir daripada Mesir" Aku memberitahu dan menyerahkannya pada Ustaz.

"Ahmad, Ahmad. Kamu memang tidak pernah berubah, selalu sahaja memberi Ustaz hadiah. Terima kasih banyak Ahmad." Ustaz menyambutnya dengan senyuman.

"Siapa pula ini Ahmad?" Ustaz bertanya perihal Pakcik Li padaku, ketika ia menyedari kehadirannya.

              Aku terus memperkenalkan Pakcik Li kepada Ustaz. Demikianlah cerita sebuah tempat yang di anggap begitu indah oleh masyarakat dunia kerana keindahan dasar lautnya. Namun, nilai pengorbanan, keihklasan, perjuagan seorang murabbi adalah yang paling indah bagiku. Insya'Allah... Aku juga bercita-cita untuk menjadi murabbi sepertinya yang membawa syiar ISLAM dan terus menerus mendidik anak bangsaku disini.

"INDAHNYA MABUL" bisik hatiku yang paling dalam.



*THE END*

******************************************************************************

Nota: Cerpen ini adalah adaptasi kisah benar seorang Ustaz yang berdakwah di Pulau Mabul Sabah, ketika penulis pergi melakukan ziarah dakwah di sana. Selamat membaca. Terima Kasih. (^^,)v

2 comments:

  1. Masyaallah apabila ana baca cerpen enta ini rasa hati ini begitu tersentuh. Moga2 enta dpt hasilkan lbh byk lg cerpen2 yg sebegini. Ana sentiasa ternanti-nanti cerpen yg seterusnya.

    ReplyDelete
  2. Insya'Allah...

    Terima kasih akhi kerana membaca cerpen ana. Doa'kn smoga ada lagi idea2 yg sebegini utk dijadikan cerpen. (^^,)

    ReplyDelete